8 Pengangkutan Awam di Bangkok – Pengenalan, Panduan & Kadar Tambang 2019

Bangkok merupakan ibu negara dan bandar terbesar di dalam negara Thailand. Dengan mempunyai populasi seramai 8 juta dalam keluasan 1569 km² menjadikannya bandar kedua terbesar di Asia Tenggara di selepas Jakarta.

Manakala dari segi bilangan kenderaan pula adalah sebanyak 9.7 juta buah kenderaan, satu jumlah yang dikatakan oleh kerajaan; lapan kali lebih banyak daripada jumlah yang boleh ditempatkan dengan baik di atas jalanraya yang sedia ada.

Agak gila, bukan? Patut lah sesak setiap masa.

Walaubagaimanapun, dengan kewujudan sistem pengangkutan awam yang pelbagai dengan jaringan yang meluas sangatlah memudahkan kehidupan seharian penduduk malahan para pelancong yang datang melawat di kotaraya padat ini.

Bagi para pelancong seperti kita pula, pengetahuan tentang pengangkutan awam tentulah antara perkara yang sangat penting ketika berada di tempat orang supaya mudah kita berjalan.

Hai saya Zack. Saya sediakan panduan lengkap ini untuk kemudahan anda semua datang ke Bangkok nanti. 🙂

Berikut adalah pengenalan dan kadar tambang bagi 8 pengangkutan awam yang boleh didapati di Bangkok :

1. Bas

Bas sememangnya antara pilihan yang utama dan ekonomi bagi 8 juta penduduk Bangkok untuk bergerak ke suatu tempat. Sistem pengangkutan ini boleh dikatakan agak meluas kerana laluan yang meliputi hampir keseluruhan Kota Bangkok.

Dari hujung utara Bangkok di Nonthaburi hinggalah ke hujung timur di Minburi, anda boleh pergi dengan bas sahaja.

Bas disini mempunyai pelbagai jenis dan kadar bayaran yang berbeza. Bermula dengan hanya 7 baht untuk bas mini hinggalah paling mahal sebanyak 20 baht untuk bas yang mempunyai tempat duduk selesa berserta penghawa dingin.

Mula beroperasi dari pukul 5 pagi hinggalah 11 malam, sistem aliran ini juga terdapat untuk 24 jam bagi sesetengah tempat.

Namun, pada waktu kemuncak seperti tamat waktu berkerja, bas akan menjadi sangat padat dan penuh dengan penumpang, oleh sebab itu anda haruslah bijak merancang waktu perjalanan pulang agar tidak terperangkap dalam ‘tin sardin’.

Untuk peta laluan bagi setiap nombor bas yang ada di Bangkok, boleh layari https://www.transitbangkok.com/bangkok_bus_routes.php

  • Kadar Tambang : 7-20 baht
  • Waktu Operasi : 5 pagi – 11 malam / 24 jam

2. Keretapi

MRT

Mass Rapid Transit/MRT adalah sistem keretapi bawah tanah yang turut dikenali sebagai subway atau underground train di kalangan penduduk tempatan. MRT di Bangkok mempunyai 2 line iaitu Blue Line dan Purple Line.

Untuk Blue line, bermula dari stesen Hua Lamphong dan berakhir di Bang Sue, melalui 18 stesen yang meliputi kawasan tarikan (Mo Chit, Sukhumvit, Asok), penempatan penduduk dan kawasan pejabat-pejabat.

Manakala untuk Purple line pula bermula dari Tao Poon dan berakhir di Khlong Bang Phai dan melalui 16 stesen.

  • Kadar Tambang : 15 – 40 baht
  • Waktu Operasi : 6 pagi – 12 malam

BTS

Bangkok Skytrain atau lebih dikenali sebagai BTS merupakan keretapi laluan bertingkat yang mempunyai 2 line iaitu Silom line dan Sukhumvit line.

Sukhumvit line yang mempunyai 22 stesen bermula dari Mo Chit dan berakhir di Bearing turut menghubungkan beberapa tempat tarikan seperti Mo Chit, Siam, Nana dan Victory Monument.

Manakala Silom line pula mempunyai 14 stesen bermula dari National Stadium dan berakhir di Bang Wa.

  • Kadar Tambang : 15 – 55 baht
  • Waktu Operasi : 530 pagi – 12 malam

ARL

Airport Rail Link pula adalah keretapi yang menghubungkan antara Lapangan Terbang Suvanarbhumi dengan pusat bandar Bangkok.

Bermula dari stesen Phaya Thai terus ke lapangan terbang melalui 6 stesen, keretapi ini sangat memudahkan pengguna tanpa perlu melalui kesesakan lalu lintas Bandar Bangkok.

Harga untuk ARL sangatlah berbaloi bermula hanya dari 15 baht – 45 baht untuk perjalanan yang melintasi pusat bandar yang sesak setiap masa.

  • Kadar Tambang : 15 – 45 baht
  • Waktu Operasi : 6 pagi – 12 malam

3. Teksi atau Grab

Teksi

Teksi disini mempunyai pelbagai warna menandakan syarikat yang berbeza namun anda tidak perlu khuatir, harga adalah sama bermula dari 35 baht bagi permulaan meter.

Sepanjang pengalaman saya di Bangkok, teksi disini boleh dikatakan agak murah, kelihatan professional dan rata-rata menggunakan kereta jenis Toyota Corolla. Ada juga teksi yang menggunakan kereta jenis Toyota Fortuner 2019, agak mewah juga lah.

Grab

Syarikat Grab juga turut beroperasi disini setelah menggantikan platform Uber secara sepenuhnya pada awal 2018. Anda boleh memuat turun aplikasi Grab di telefon pintar dan terus membuat pesanan terus ke kediaman anda.

Disini juga terdapat Grab untuk motosikal dan dikenali dengan Grab Bike.

Namun secara jujurnya, bagi saya harga untuk teksi selalunya lebih murah berbanding Grab.

  • Kadar Tambang : Atas jarak perjalanan
  • Waktu Operasi : 24 jam

4. Tuk Tuk

Tuk – tuk adalah sejenis pengangkutan yang agak ikonik dengan Negara Thai.

Seakan akan Beca di Malaysia, Tuk Tuk menggunakan motosikal yang diubah suai yang boleh memuatkan penumpang seramai 3-4 orang.

Selalunya jarak yang ditawarkan tuk-tuk hanyalah dalam lingkungan 1-5 kilometer sahaja memandangkan kelajuan yang tidak seberapa.

Tuk-Tuk juga biasanya terhad di kawasan tumpuan pelancong sahaja seperti Grand Palace, Silom, Nana dan sebagainya.

Harga untuk kenderaan ini boleh dirunding dengan pemandu, jujurnya agak mahal namun apa salahnya cuba sekali seumur hidup malahan boleh bergambar-gambar, bukan begitu?

  • Kadar Tambang : Atas jarak perjalanan dan rundingan dengan pemandu. Bermula 50 baht dan keatas.
  • Waktu Operasi : Pagi sehingga lewat malam

5. Teksi Motorsikal

Jika anda melihat seorang pembonceng motorsikal yang memakai vest berwarna oren, maka ketahuilah bahawa itu adalah teksi motorsikal. Anda boleh menahan beliau untuk menghantar kemana anda mahu dalam lingkungan terdekat 1-5 kilometer.

Harga adalah berdasarkan jarak perjalanan dan boleh dirunding dengan pemandu.

Kelebihan jika menggunakan teksi motorsikal ialah pemandu-pemandu mereka yang berpengalaman dengan selok belok pusat Bandar, berani mencelah dalam kesesakan lalu lintas dan mereka juga mudah didapati dimana-mana pada bila-bila masa.

Bagi saya, cepat dan menjimatkan masa, namun, pada anda yang merasa tidak selamat dan biasa dengan cara pemanduan ini, boleh lah mencuba pengangkutan awam yang lain.

  • Kadar Tambang : Atas jarak perjalanan. Bermula 10 baht dan keatas.
  • Waktu Operasi : 24 jam mengikut tempat tertentu

6. Bot Sg. Chao Phraya

Bot juga adalah antara satu sistem pengangkutan yang boleh kita cuba ketika di Bangkok. Sistem ini sebenarnya adalah antara pengangkutan yang terawal wujud di Bangkok yang mana menghubungkan dua tanah yang terpisah dari Sungai Chao Phraya.

Walaupun kini sudah ada banyak jambatan, namun bot tetap digunakan malah dijadikan antara tarikan kepada pelancong.

Disini terdapat dua jenis bot yang boleh dipilih.

Pertama ialah bot yang tidak mempunyai bendera yang mana dinaiki oleh kebanyakkan penduduk tempatan. (Local line No Flag)

Bot yang bermula dengan bayaran serendah 10-20 baht ini agak kurang selesa dengan kerusi kayu yang keras dan kebiasaannya akan dipenuhi dengan penumpang pada waktu kemuncak pulang kerja.

  • Laluan : Nonthaburi (N30) – Wat Rajsingkorn (S3)
  • Kadar Tambang : 9 – 13 baht bergantung pada jarak

Kedua pula ialah Chao Phraya Express Bot. Bot ini pula mempunyai pelbagai warna bendera yang akan membezakan harga dan keselesaan kepada penumpang.

Bot Bendera Oren

  • Laluan : Nonthaburi (N30) – Wat Rajsingkorn (S3)
  • Kadar Tambang : 14 baht

Bot Bendera Hijau

  • Laluan : Pakred (N33) – Nonthaburi (N30) – Sathorn (Centre)
  • Kadar Tambang : 13 – 32 baht bergantung pada jarak

Bot Bendera Kuning

  • Laluan : Nonthaburi (N30) – Sathorn (Centre)
  • Kadar Tambang : 20 baht

Sistem pengangkutan air ini boleh dinaiki jika anda ingin berkunjung ke tempat tumpuan seperti Grand Palace, Wat Arun dan Asiatique. Anda boleh lawati http://www.bangkok.com/information-travel-around/boats-ferries.htm dan http://www.chaophrayaexpressboat.com/en/services/ untuk maklumat lebih lengkap berkenaan waktu operasi dan stesen perhentian bot.

7. Canal Boat

Bandar Bangkok terkenal dengan bandar yang mempunyai sungai dan banyak terusan dan mereka begitu memanfaatkannya dengan mencipta sistem pengangkutan air.

Ibarat menaiki bot di terusan di celahan Bandar Venice, di Bangkok juga anda boleh merasai pengalaman yang hampir serupa.

Terusan terpanjang disini ialah terusan Saen Saeb yang bermula dari stesen Phanfa Bridge berdekatan dengan Golden Mount di Old Town dan berakhir di stesen Wat Sriboonreung berdekatan The Mall Bangkapi Ramkhamheng jauh di timur bandar Bangkok.

Pengangkutan ini bermula pada pukul 5.30 pagi hingga 8.30 malam. Kadar bayaran pula hanyalah bermula 9 – 19 baht mengikut jarak perjalanan anda.

Stesen canal bot juga banyak menghubungkan stesen MRT dan BTS seperti Asok, Petchaburi, Ratchathewi dan sebagainya di samping turut melalui kawasan tumpuan iaitu National Stadium, Central World dan Neon Night Market.

Pada hemat saya, untuk mencuba canal bot ini agak berbaloi kerana harganya yang murah dan tidak perlu berdepan kesesakan jalanraya malahan terdapat akses stesen bot untuk ke tempat tumpuan dan pertukaran MRT/BTS.

Namun, tidak dapat dinafikan dengan tahap keselesaannya, yang mana bot ini akan penuh sesak dengan penumpang pada waktu petang ketika waktu pulang kerja.

Dan andaikata anda membandingkan dengan canal bot di Venice, maka ternyata disini adalah jauh lebih “hardcore“.

Busuk dan berbahaya, mungkin tidak keterlaluan jika saya simpulkan bahawa beginilah situasi untuk sistem pengangkutan ini. Saya pernah melihat kejadiaan seorang makcik serta anaknya jatuh kedalam terusan akibat melompat awal dari bot yang kuat bergoncang dan masih belum betul-betul rapat dengan jeti.

Jadi anda harus berani dan cekap jika ingin menaiki bot ini. Cekap maksud saya adalah mengikut pengalaman dan kekerapan anda menaiki bot sepanjang hidup anda.

  • Kadar Tambang : 9 – 19 baht bergantung pada jarak
  • Waktu Operasi : 530 pagi – 830 malam

8. Songthaew

Dari perkataan Song bermaksud dua dan Thaew bermaksud baris,  akhirnya wujud satu sistem pengangkutan awam yang sangat berguna untuk pengguna Thailand. Ianya adalah sejenis pickup-truck yang diubah suai di bahagian belakang dengan diletakkan dua baris tempat duduk untuk penumpang.

Jika anda pernah ke Thailand walaupun yang paling dekat dengan Malaysia iaitu Sg. Golok atau Padang Besar, anda dengan mudahnya dapat melihat sejenis pengangkutan awam ini.

Harga untuk menaiki songthaew hanyalah 8 baht untuk sekali perjalanan dan pada waktu lewat malam, tambang akan naik menjadi 10 baht.

Kebiasaannya songthaew hanya dinaiki untuk jarak yang tidak terlalu jauh dalam lingkungan 1-5 kilometer sahaja atau hanya sepanjang jalan utama seperti sepanjang Petchaburi Rd, Ramkhamheng Rd dan sebagainya.

Pengangkutan ini sebenarnya sangat jarang dinaiki oleh pelancong kerana kekangan bahasa. Tulisan arah dan tempat tujuan yang hanyalah dalam tulisan Thai menyebabkan mereka elakkan untuk naiki kerana takut sesat. Mungkin?

Saya pernah mencubanya dengan bertanyakan tempat tujuan dan kebetulan sama arah, jadi apa salahnya mencuba kan?

Tetapi untuk anda yang tidak tahu sedikit pun bahasa Thai dan pertama kali sampai disini, lebih baik jika anda bersama dengan teman yang boleh faham dan berbahasa Thai.

  • Kadar Tambang : 8 baht / seperjalanan. 10 baht pada lewat malam
  • Waktu Operasi : Pagi hingga lewat malam

Ayuh ke Bangkok !

Jadi saya sudah senaraikan 8 jenis pengangkutan awam yang anda boleh naiki ketika di Bangkok berdasarkan pengalaman saya di sini. Ada yang sesuai dan mungkin juga ada yang kurang sesuai buat anda. Buat lah pilihan berdasarkan keselesaan dan tahap keselamatan yang anda mahukan.

Semoga info-info di atas berguna untuk anda berjalan-jalan di sini nanti. Saya sudah begitu panjang menulis, tunggu anda sahaja untuk siap menempah tiket.

Oh ya, andai akan datang ada perkhidmatan pengangkutan awam yang baru (contoh : tukang dukung di belakang), semestinya saya akan update pada entry yang baru.

Tunggu apa lagi, ayuh ke Bangkok !

Leave a Reply

avatar
  Subscribe  
Notify of